16 October 2009

Al- Insyirah ( kelapangan hati)




Dimana kan ku cari ketenangan?

kadangkala kita membaca Al-Quran tanpa kita meneliti makna kalimah yang kita baca..kerana itu apa yang kita baca tidak meresap di hati..ia hanya sekadar ungkapan di bibir..alangkag indahnya jika kita memahami setiap kalimah yang kita bacakan, seolah-olah kita sedang berkomunikasi dengan Allah.

ketika kali pertama saya membaca tafsir surah Al-Insyirah, saya berasa sangat lapang. membaca makna-makna dalam surah yang pendek ini akan menjawab segala krisis dan permasalahan yang berlaku, yang kita rasakan susah untuk kita hadapi.

kerana itu, saya tertarik untuk meletakkan insyirah sebagai email saya, kelapangan hati..saya bercita-cita ingin menarik manusia ke arah kelapangan, ketenangan yang hakiki.




Maksud:

1. wahai Muhammad, bukankah kami telah lapangkan dadamu?

2. Dan kami telah ringankan bebanmu.

3. Yang telah memberatkan belakangmu

4. Dan Kami telah angkatkan namamu ( di dunia dan akhirat)

5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan

6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan

7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan0kegiatan hidupmu, maka usahakanlah kegiatan yang lain pula.

8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu


Latarbelakang surah al-Insyirah:

~ Surah ke-94 di dalam Kitab Al-Quran.

~ Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat.

~ Dinamakan surah “Al-lnsyiraah (Perihal Melapangkan Dada Nabi), kerana pada awal surah ini, Allah Taala menegaskan salah satu nikmat- Nya yang dikurniakanNya kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah melapangkan dadanya (serta mengisinya dengan iman dan hidayah pertunjuk).

~Surah ke 94

~Juz 30


Surah ini diturunkan selepas Surah ad-Duha, seolah-olah merupakan surah yang menyempurnakannya. Dalam surah ini terdapat naungan kasih mesra dan semangat bermunajat dengan orang kesayangannya. Dalam surah ini juga disebut gejala-gejala dan peristiwa-peristiwa yang membuktikan Inayah dan perhatian Ilahi terhadap Rasul-Nya, juga disebut berita gembira yang menjamin kesenangan dan kelapangan, dan disampaikan bimbingan untuk mencapai rahsia kesenangan dan tali hubungan yang kukuh dengan Allah 'Azzawajalla.


Penafsiran bagi ayat 1-4


أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ
2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.

الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ
3. Yang telah memberatkan belakangmu.

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).

Ayat-ayat ini menyarankan bahawa jiwa Rasulullah s.a.w. sedang mengalami kesulitan dan kesusahan dalam usaha menyebarkan da'wah yang ditugaskan kepadanya dan dalam menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan dan tipu daya di jalan da'wah. Dadanya penuh sebak dengan kerungsingan-kerungsingan memikul tugas da'wah yang berat itu dan
merasa betapa perlunya kepada pertolongan, bantuan dan bekalan semangat daripada Allah. Kemudian berlakulah munajat yang manis dan bisikan yang mesra:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?

Yakni bukankah Kami telah bukakan dadamu untuk memikul tugas dakwah ini dan Kami berikan kemudahan-kemudahan kepadamu untuk melaksanakannya? Bukankah Kami telah jadikan tugas da'wah itu satu tugas yang amat disukai hatimu? dan Kami licinkan jalan-jalannya untukmu serta Kami terangi jalan-jalan itu hingga engkau dapat melihat penghabisannya yang bahagia. Wahai Muhammad periksalah dadamu, tidakkah engkau dapati di lubuknya perasaan senang dan lapang hati, perasaan terang-benderang oleh nur iman? Pulihkan kembali kecapan citarasa dari kurniaan-Ku ini di dalam perasaanmu dan jawablah: Tidakkah dengan kecapannya yang citarasa itu melapangkan hatimu dari segala kesusahan, merehatkan dirimu dari segala kepenatan, memberikanmu perasaan senang dalam menghadapi setiap kesukaran dan perasaan rela terhadap segala penafian?


وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ

2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.

الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

3. Yang telah memberatkan belakangmu.

Yakni kami ringankan bebanan dakwah yang amat berat itu dengan melapangkan hatimu, dan dengan memberi taufik dan kemudahan kepadamu untuk melaksanakan da'wah, dan dengan menurunkan wahyu kepadamu untuk menerangkan hakikat-hakikat yang sebenar dan untuk menolongmu menyerap ke dalam jiwa manusia dengan cara yang lemahlembut. Tidakkah engkau dapati semuanya itu ketika menanggung beban yang telah memberatkan belakangmu? Tidakkah kini engkau dapati beban itu telah menjadi ringan setelah Kami lapangkan dadamu?

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).

Yakni Kami angkatkan namamu di kalangan para Malaikat al-mala'ul a'la, Kami angkatkannya di bumi dan di seluruh 'alam buana dan kerana itulah Kami gandingkan namamu dengan nama Allah setiap kali bibir manusia menyebut Laa ilaa ha illal laah, Muhammadar Rasulullaah. Tidak ada lagi darjah yang setinggi dan semulia ini, itulah satu-satunya darjah yang hanya dicapai oleh Rasulullah s.a.w. di antara seluruh isi 'alam. Kami telah angkatkan namamu di dalam Lauh Mahfuz ketika Allah memutuskan supaya namamu disebut pada setiap zaman dengan ucapan doa, selawat dan taslim dan dengan perasaan kasih-sayang yang mendalam. Kami telah angkatkan namamu yang telah terikat dengan agama Allah yang luhur ini, kerana pemilihanmu untuk menyampaikan agama ini merupakan satu pengangkatan nama yang paling tinggi yang belum pernah dicapai oleh seseorang pun di 'alam buana ini baik sebelummu atau
selepasmu. Oleh itu kesusahan, kepenatan dan keletihan tidak mempunyai tempat
lagi dibandingkan dengan pengurniaan Allah yang besar yang boleh menghapuskan segala penderitaan itu.


(Pentafsiran ayat-ayat 5 – 6)

Walaupun begitu, namun Allah terus berlemah-lembut dengan Rasul
kesayangan-Nya yang terpilih itu dan terus menghibur dan menenangkan
hatinya di samping menerangkan rahsia kesenangan yang tidak terpisah
darinya. Kerana:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

Kesukaran dan kesusahan tidak sunyi dari kesenangan dan kemudahan yang menemanimu di mana-mana sahaja. Apabila bebanan dakwah menjadi sebegitu berat, Kami lapangkan dadamu lalu bebanan yang memberatkan belakangmu itu menjadi ringan. Kesenangan sentiasa menemani kesusahan untuk meringankan tekanan dan keberatannya. Ini adalah satu hakikat yang diyakinkan dan kerana itu ia disebut berulang-ulang kali dengan ungkapan yang sama.

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

Pengulangan ayat ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. benar-benar berada dalam kesulitan dan kesukaran yang memerlu kepada pengamatandan peringatan ini, memerlukan kenangan kepada gejala-gejala Inayah Allahini, memerlukan kepada penayangan tempat-tempat Ri'ayah Allah ini, dan
memerlukan kepada penegasan dengan segala cara penegasan yang seperti
ini. Tidak syak lagi bahawa urusan da'wah yang telah memberatkan penanggungan hati Nabi Muhammad s.a.w. sebegini rupa adalah satu urusan yang amat besar.

(Pentafsiran ayat-ayat 7 – 8)

Kemudian datang pula arahan Ilahi supaya ia mencari sebab-sebab yang
boleh melahirkan kelapangan dan kesenangan hati dan mencari tempat
simpanan bekal untuk menempuh perjalanan da'wah yang jauh dan sukar:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ
7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan-kegiatan hidupmu,

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.


Selepas kesulitan ialah kesenangan. Oleh itu gunakanlah punca-punca kesenangan dan kemudahan itu. Yakni jika engkau telah selesai dari urusanurusanmu dengan orang ramai dan dari urusan-urusan kehidupan, maka hadapilah dengan seluruh hatimu kepada kegiatan-kegiatan yang lain yang wajar dilakukan dengan susah payah dan penat jerih, iaitu kegiatan ibadat dan bertawajjuh kepada Allah:

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.

Tumpukan seluruh perhatian dan minat kepada Tuhanmu sematamata dan kosongkan hatimu dari segala sesuatu termasuk urusan orang ramai yang engkau dakwahkan mereka. Sudah tentu engkau memerlukan bekalan dan senjata. Di sinilah engkau akan mendapat bekalan untuk menempuh jalan da'wah, di sinilah engkau akan mendapat alat-alat senjata untuk kelengkapan berjihad. Di sinilah engkau akan menemui kesenangan dan kemudahan setiap kali engkau menempuh kesulitan dan kesukaran. Inilah jalan perjuangan dakwah.


Surah ini berakhir sama seperti berakhirnya Surah ad-Duha. Meninggalkan di dalam hati dua perasaan yang bercampur-aduk, iaitu perasaan betapa besarnya kasih mesra Allah terhadap kesayangan-Nya Rasulullah s.a.w. dan perasaan betapa besarnya timbangrasa dan belas-kasihan-Nya terhadap Rasulullah s.a.w. dan kita sendiri seolah-olah merasa bagaimana perasaan kesulitan yang sedang berkecamuk di dalam hati Rasulullah s.a.w. pada waktu itu yang benar-benar memerlukan kepada kasih mesra Ilahi. Itulah dakwah. Itulah amanah dan tugas yang amat berat, namun demikian ia tetap merupakan tempat pancaran dan tempat turunnya nur Ilahi. Ia merupakan tali hubungan yang menyambung fana' dengan baqa' dan'alam dengan nyata.

( Tafsir fi Zilalil Quran)
Sayyid Qutb

kesusahan dan kesempitan.

kita sebagai manusia tidak akan lari dari merasa kesusahan dan kesempitan hidup. Saya dapat melihat bahawa surah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w ini adalah satu surah pembakar semangat kepada kita tatkala kita sebagai manusia yang tidak lari daripada merasa kecewa, sedih dan putus asa. Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang kita rasakan susah untuk kita laksanakan..

bagi penghafaz Al-Quran,
" saya rasa saya tak boleh bawak la Quran, saya rasa susah sangat nak hafaz, sepanjang malam saya hafal, tapi saya tetap tak ingat, bila tasmi', aya selalu x lancar,saya malu"

bagi seorang pelajar jurusan lain,
" susah betul la subject ni, pening kepala aku"

bagi aktivis dakwah,
"entah la, aku rasa tak dapat balance antara study ngan dakwah, pointer aku pun asyik jatuh jer, tidur lewat,assignment berlambak, mane sempat masa, masa aku pun 24 jam gak"

mungkin banyak lagi contoh yang saya tidak dapat bawakan di sini, tapi di sini jelas menunjukkan keluhan-keluhan kita saban hari. Namun, sudah lumrah kita sebagai manusia berasa "down" seketika, namun perasaan-perasaan sebegini hendaklah ditangani dengan cepat sebelum ia menjadi virus dengan lebih dasyat.

Sebagai seorang muslim, kita diajar supaya menunaikan solat, membaca Al-Quran kerana itu merupakan titik kepada menacapai ketenangan. Saintifik juga telah membuktikan kenapa amalan-amalan begini boleh mencapai ketenangan..

Kajian yang telah dijalankan oleh Dr Emoto terhadap air menyatakan air mengandungi mesej tersembunyi didalam struktur kristalnya dan mesej-mesej ini memberikan kita gambaran menakjubkan mengenai realiti kita yang sebenarnya. Eksperimen yang dijalankan oleh beliau mendapati terdapat interaksi air dengan semua perkara yang berlaku dipersekitarannya melalui bentuk-bentuk kristal yang terhasil apabila air itu dibekukan pada suhu tertentu. Tindakbalas air pada persekitaran yang positif menghasilkan bentuk kristal yang cantik dan begitu juga sebaliknya, jika persekitaran di mana air diletakkan adalah negatif bentuk kristal yang terbentuk adalah buruk dan tidak menarik. Walaupun eksperimen yang dijalankan oleh beliau nampak mudah dari segi pemerhatiannya, tetapi sebenarnya ianya memberi impak yang cukup besar terhadap perilaku seseorang dan perhubungan antara manusia.

70% daripada komposisi badan kita juga adalah air. Bukankah jika kita menunaikan solat dan membaca Al-Quran, kita menyebutkan perkataan yang baik? maka disitulah moleku-molekul air akan berubah kepada bentuk yang cantik dan meransang emosi manusia.

Maka dalam setiap tindakan kita, kembalikan segalanya kepada Allah. InsyaAllah kita pasti mendapat ketenangan walau seberat mana ujian yang menimpa kita, kita akan menganggapnya sebagai hadiah daripada Allah.


30 September 2009

Sabar dalam Ibadah

Setelah lama menyepi, akhirnya dapat juga saya memperbaharui blog saya ini..pengalaman demi pemgalaman cuba saya kutip sebanyak mungkin setelah berada di uia selama beberapa bulan ini. Alhamdulillah, pengalaman menyambut Ramadhan di UIA sangat menggembirakan..

berbuka puasa di masjid secara berjemaah..

solat terawih...

i'tikaf di masjid..

tadarus..

saya rasakan jiwa saya betul-betul terisi dengan kehadiran Ramadhan kali ini. moga saya masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang...Amien

Aid Mubarak..tanda kemenangan kita setelah sebulan berpuasa di Bulan Ramadhan..
Seharusnya kita menyambutnya dengan perasaan yang penuh kesyukuran, keinsafan, dan bermuhasabah kepada tuhan yang esa.

kadangkala kita sendiri yang tidak menyuburkan perasaan kita itu. Banyak faktor yang menyebabkan perasaan ini tidak disuburkan..mungkin kerana tiada pendedahan sejak dari kecil oleh keluarga, keadaan persekitaran, kawan-kawan, atau mungkin juga kerana tidak berminat. Ada juga bila dikala kesusahan baru ingin “mencari tuhan” dan dikala kesenangan, susah benar ingin mengucapkan kesyukuran dan lafaz “alhamdulillah” dari bibirnya. Alangkah sombongnya manusia..Maka, Ramadhan adalah terbaik bagi menyuburkan kembali sifat ini.."

Aidilfitri pula, adalah waktu untuk kita bermaaf- maafan dan mengeratkan tali silaturrahim antara kita sesama manusia, menghubungkan tali yang renggang, menjalinkan kembali tali persaudaraan yang terputus dan mengenal saudara-mara yang dekat mahupun jauh.

Menziarahi kubur mereka yang telah pergi bertemu illahi, sebenarnya ingin mengingatkan kita bahawa kita juga pasti akan kesana, cuma saatnya sahaja yang berbeza. Bukan sekadar ingin mengutip duit raya selepas tahlil yang pastinya sangat lumayan dan dinanti-nantikan oleh kanak-kanak kecil..Tapi sebenarnya mempunyai maksud yang lebih mendalam dan tersurat, yang sebenarnya perlu dinilai dengan mata hati.Itulah sebenarnya yang patut kita teliti. Barulah sedikit demi sedikit, akan tertanam perasaan bertuhan dalam diri kita.

Saya sangat berminat mengkaji manusia.. minat saya semakin bertambah apabila saya antara insan pilihan Allah yang terpilih untuk sama-sama mengetahui dengan lebih mendalam tentang Sultan Muhammad Al-Fateh. Walaupun saya kira saya agak ketinggalan kerana saya baru sahaja merangkak-rangkak ingin menghabiskan buku tentang kisah Sultan Muhammad Al-Fateh, tapi inilah peluang saya yang terbaik untuk mengkaji tentang Sultan Muhammad Al- Fateh yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sejak 800 tahun sebelumnya bahawa orang yang berjaya menakluk konstantinople adalah sebaik-baik raja, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat.

Alhamdulillah, setelah tamat membaca novel tentang Sultan Muhammad Al-Fateh, sedikit sebanyak gambaran tentang Sultan Muhammad Al-Fateh telah dapat saya pelajari. Tetapi apa yang penting yang ingin saya kaitkan di sini adalah faktor ibadah antara salah satu elemen yang sangat penting dalam pembinaan elemen seorang insan. Sewaktu pembukaan Konstantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya ingin menunaikan solat berjemaah dan baginda mencari siapakah yang paling layak untuk menjadi imam bagi solat tersebut. Satu-persatu soalan diajukan yang mengkehendaki siapa yang tidak pernah meninggalkannya akan berdiri..bermula dari solat fardhu, solat sunat Rawatib dan akhirnya solat tahajud. Akhirnya, hanya Sultan Muhammad Al-Fateh yang berdiri, menunjukkan bahawa selama hidup beliau, beliau tidak sekalipun meninggalkan solat tahajud, apatah lagi silat fardu dan solat sunat rawatib. Dan akhirnya Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri yang mengimani solat tersebut.

Ada banyak perkara yang kita boleh pelajari dari kisah tersebut yang kadangkala kita tidak ambil berat, pandang enteng. Melakukan kerja Islam tapi mengabaikan dan melewatkan-lewatkan solat. Apatah lagi mahu berpuasa sunat Isnin dan Khamis, susah benar rasanya...sedangkan kekuatan jasmani itu akan lahir dari rohani yang sihat. Dalam istilah dan kajian sains yang salah satunya pernah saya baca iaitu Terapi Solat Tahajud karangan Dr Asri Zainal Abidin, merungkaikan bagaimana perasaan ikhlas seorang hamba dalam melakukan ketaatan kepada Allah boleh menghasilakan tubuh badan yang cergas dan minda yang sentiasa positif. Ia adalah hasil dari ransangan yang berlaku dalam tubuh badan kita. Maksudnya, jika seseorang itu bangun untuk solat tahajud pada malamnya, dia sepatutnya aktif dan berfikiran positif pada esoknya, jika dia sendiri ingin menilai niatnya sewaktu melakukan solat tahajud tersebut.

Islam dan Sains tidak pernah bercanggah. Apa yang disuruh oleh Allah pasti ada kebaikan pada setiap hamnbaNya jika betul niat dan caranya. Moga Ramadhan yang berlalu berjaya mendidik hati kita supaya sentiasa istiqomah dalam keimanan. Amin

06 August 2009

Perikatan Anti-Islam

Sudah lama rasanya saya tidak memperbaharui blog saya ini. Bukan sengaja ingin membiarkan blog ini yang jika dapat dinilai dari segi zahirnya, mungkin sudah berhabuk, akibat sudah lama tidak dicuci. Keterbatasan saya untuk mengakses internet mungkin salah satu faktor. Namun, ia bukan alasan sebenarnya, tapi itulah yang dapat saya katakan mungkin..Memang sudah lama saya berhajat ingin membeli laptop, namun mungkin saya perlu lupakan hajat saya itu buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada perkara yang lebih aula dan penting..FIRST THING FIRST.

Saban hari juga saya berfikir tentang isu yang ingin saya ketengahkan. semakin hari, saya rasakan semakin ketandusan idea, mungkin kerana saya kurang menambah pembacaan saya. Sebulan berada di UIA, kadangkala rasa seperti saya baru memasuki asrama semasa di tingkatan satu..Apa tidaknya, setiap minggu saya akan pulang ke rumah, sehingga sahabat saya bertanya adakah saya mempunyai masalah ataupun " homesick". mungkin kerana pelik dengan tabiat saya yang gemar betul pulang ke rumah. Saya sendiri pun sangsi dengan kelakuan saya, mungkin saya sedang mencari kembali diri saya yang saya rasakan semakin pudar semangat.

Alhamdulillah, walaupun saya tidak menyambung pelajaran ke luar negara, namun suasana di uia yang mempunyai ramai pelajar-pelajar dari luar menyebabkan kadang-kadang saya terasa seperti berada di luar negara. Kesempatan ini saya gunakan dengan sebaiknya untuk berkongsi pengalaman dengan mereka.

Sesungguhnya, apabila kita mendengar sendiri cerita dari mereka tentang keadaan mereka di negara mereka, pergolakan di negara mereka, terasa sebak di hati. Ada sahabat-sahabat sekelas saya yang berasal dari Palestine, Yala ( Thailand), Afghanistan, Iraq, Urbakistan, Yaman, Arab Saudi, UAE ( United Arab Emeriah), China dan Arab Saudi. Teringat beberapa sesi di dalam kelas, yang mana kadangkala kami diminta untuk membincangkan sesuatu topik, Seorang sahabat saya daripada Palestine, yang benama Du'a berkongsi kepada kami bahawa kesusahan yang mereka alami di sana seperti yang kita lihat di media adalah terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan kesengsaraan sebenar yang mereka alami. Pensyarah saya kemudian mengatakan bahawa Malaysia sudah menghantar wang dan bantuan ke sana. Du'a kemudian menjawab, wang semata-mata tidak cukup untuk membantu mereka di sana, tetapi mereka perlukan umat Isalm bersatu supaya dapat menyelamatkan dan mempertahankan masjidil Aqsa. sahabat saya daripada Yala pula bercerita bahawa di sana kematian adalah perkara yang biasa di tiga buah perkampungan Islam iaitu Yala, Pattani, Narratiwat. Umat Islam di sana sentiasa diperlakukan dengan kejam oleh kerajaan Thailand. Sahabat saya daripada Iraq pula mengatakan bahawa mereka di sana juga menghadapi situasi yang sama, peperangan di antara puak Sunni dan Syiah, dan setiap hari, bekalan elektrik hanya dibekalkan selama 5 jam dan di sana juga tiada punca air yang bersih untuk diminum. Hakikatnya, umat Islam di seluruh dunia sedang ditindas dan sudah semestinya usaha-usaha untuk menegakkan kembali Islam dan membangunkan kembali semangat dan nilai-nilai Islam akan sentiasa mendapat tentangan.

Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, ada usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Turkistan Timur, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar dan juga Sudan. Jika dilihat secara sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang berlainan.

Orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang Rusia di Kaukasus, dan rejim-rejim penindas kini memerangi umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir, dan Maghribi. Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada perkaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa, dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua antiagama Islam.

Kuasa-kuasa yang menafikan kewujudan Allah itu dan melihat agama-agama ketuhanan - terutamanya Islam, satu-satunya agama yang korup - sebagai musuh paling berbahaya kepada sistem sekular mereka dan seterusnya mengisytiharkan perang keganasan terhadap agama dan mereka yang beriman, sebenarnya mewakili ideologi-ideologi ateis.

Inilah sebabnya mengapa musuh sebenar Islam bukannya orang-orang Serbia, Hindu ataupun pelbagai rejim-rejim penindas yang lain, tetapi adalah pegangan tidak beragama yang menyelubungi dunia ini. Dasar peperangan menentang Islam tersebut berakar-umbi daripada ateisme dan telah bermula sejak sekian lama.

Kolonialisme dan kebencian terhadap Islam

Bangsa-bangsa kolonialis seperti Britain, Perancis dan Itali telah melakukan penderaan yang sangat kejam ke atas umat Islam yang tinggal di negara-negara Islam yang mereka jajah, dan juga turut melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Dunia Islam tidak selalunya kekal statik. Beberapa ratus tahun dahulu, dunia diperintah oleh empayar Islam. Pada permulaan tahun 1700, hampir seluruh dunia Islam ditadbir oleh tiga empayar agung. Empayar Moghul memerintah India, manakala Empayar Safavid memerintah Iran dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Kuasa ketiga dan yang paling berkuasa ialah Empayar Uthmaniyah, yang memerintah seluruh Semenanjung Balkan termasuklah Anatolia (sekarang digelar Turki), Mesopotamia (sekarang digelar Iraq dan Syria), Semenanjung Arab, dan Afrika Utara.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga empayar tersebut akhirnya hilang secara beransur-ansur daripada peta dunia. Empayar Moghul menjadi lemah, menjadi semakin kecil, dan akhirnya tumbang. Sub-benua India akhirnya jatuh ke dalam tangan kolonial British. Kawasan yang dikenali sebagai Indocina telah dikoloni oleh Perancis. Kerajaan Safavid di bahagian tengah Asia akhirnya jatuh di bawah pemerintahan British dan Rusia.

Empayar Uthmaniyah, empayar umat Islam ketiga dan yang paling kuat, akhirnya menjadi semakin kecil bermula sejak permulaan abad kesembilan belas.Tanah-tanah jajahan Uthmaniyyah di Barat telah jatuh ke tangan Rusia, dan negeri-negeri Balkan telah dipengaruhi olehnya. Timur Tengah, Semenanjung Arab dan Afrika Utara telah dikuasai oleh British, Perancis dan Itali. Dengan berakhirnya Perang Dunia Pertama, sebahagian besar dunia Islam telah diperintah oleh kerajaan-kerajaan bukan Islam.

Britain dan Perancis 'mentadbir' umat Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, dan Timur Jauh. Dengan kata lain, mereka menuai dan menggunakan sumber-sumber alam negara Islam untuk kepentingan mereka sendiri. Soviet Rusia mengambil alih Kaukasus dan Asia Tengah, dan umat Islam di kawasan tersebut telah diperhambakan di bawah tekanan rejim komunis. Itali menawan Libya pada tahun 1911, dan kemudian melakukan penaklukan berdarah ke atas Abyssinia (sekarang digelar Ethiopia-Habsyah) pada tahun 1930-an.

Satu ciri penting polisi-polisi Britain dan Perancis terhadap Timur Tengah ialah penubuhan negara-negara boneka yang dipergunakan untuk memenuhi segala keperluan mereka. Order palsu di Timur Tengah itu telah menjadi benih beracun yang membawa kepada berlakunya peperangan demi peperangan.

Dua kuasa besar penjajah Eropah itu telah dipaksa berundur dari kawasan tersebut setelah selesai Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, mereka pergi dengan meninggalkan satu kuasa penjajah yang lebih kejam, lebih agresif, dan lebih dahsyat, Israel.

Rejim-rejim boneka yang diletakkan oleh kuasa-kuasa tersebut di dalam dunia Islam turut menindas umat Islam, dan mereka masih melakukannya sehinggalah ke hari ini. Tambahan, kuasa-kuasa luar tersebut telah mewujudkan beberapa ideologi baru yang sangat asing kepada dunia Islam, seperti nasionalisme melampau, fasisme dan komunisme. Mereka kemudiannya menggunakan golongan yang terpedaya dengan ideologi-ideologi tersebut untuk menjadi 'musuh dalam selimut' kepada masyarakat Islam.

Seharusnya, kita semua mengambil iktaibar agar kita tidak leka di saat Umat Islam yang lain dari seluruh dunia ditindas. Jika kita tidak mampu sekalipun untuk membantu mereka untuk sama-sama berjihad, seharusnya, kita tidak lupakan mereka di dalam doa kita. Moga hati-hati kita semua bersatu. Amin..

Sekadar perkongsian cerita daripada saya..

06 July 2009

Adakah anda muslimah yang berfikir?



Tangan Yang Menghayun Buaian,

Mampu Menggoncang Dunia...


Hebatnya muslimah jika kelebihan yang ada disalurkan pada jalan yang betul,

namun kita juga patut melihat kepada betapa kelebihan yang dimiliki wanita mampu untuk menghancurkan sebuah empayar, dinasti dan memecahbelahkan pentadbiran kerajaan suatu ketika dahulu..


Saya juga tertanya kepada diri saya, adakah saya wanita yang berfikir?

Apakah matlamat, visi dan misi saya?

Apakah matlamat yang ingin saya capai daripada apa yang saya pelajari?

Kesemuanya memerlukan goal setting yang jelas agar kita sentiasa berusaha yang terbaik demi mencapai ke arah matlamat tersebut..

Apapun cita-cita kita, biar jelas matlamatnya..


Teringatkan pesan seorang sahabat ketika ingin memulakan langkah ke ipta:( secara ringkasnya)


Apabila ditanya tentang matlamat saya memilih bidang pendidikan( bimbingan dan kaunseling), saya cuma mengatakan bahawa saya ingin membimbing generasi akan datang supaya mengenal tuhan.


namun, sahabat saya mengatakan kepada saya, bahawa saya mesti bercita-cita besar, bukan sekadar melahirkan orang yang kenal agama, sebaliknya melahirkan seorang negarawan yang mempunyai sifat ubudiyyah..Negarawan adalah orang yang mahir dalam selok-belok pemerintahan negara. dalam masa yang sama, memiliki sifat taqwa kepada Allah.


begitu besar sekali matlamat yang sepatutnya ada pada setiap individu walaupun kadang-kadang terfikir adakah kita mampu mencapainya..


terima kasih kepada sahabat saya tersebut.



Wanita Muslimah yang memahami dengan jelas tentang hidupnya yang sebenar hanyalah untuk mencari keredhaan Penciptanya dan yakin bahawa Jannah (syurga) atau Jahanam (neraka) merupakan balasan diakhirat, adalah seorang wanita yang berfikir. Dia adalah seorang yang tidak akan terpedaya dengan mitos kecantikan atau berusaha sedaya upaya untuk menerima imej dangkal yang dipropagandakan oleh Negara Kapitalis Barat. Dia tidak akan terpengaruh dengan dakyah dangkal yang membincangkan tentang kecantikan, rambut atau fesyen yang betul, atau membuang masa dan tenaga cuba untuk mencapai harapan yang tidak realistik sepertimana yang didefinasikan oleh masyarakat Barat sebagai “wanita yang cantik”.


Keutamaan dalam kehidupannya adalah bagaimana menjadi seorang hamba yang tawaddhu’ kepada Penciptanya dan mengumpulkan sebanyak pahala yang mungkin untuk hari kemudian.Model contoh dalam kehidupannya bukan pelakon filem, pemuzik atau model yang superfisial di Barat atau Timur tetapi lebih kepada Sahabiyaat dan wanita Muslim lampau yang mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan memenuhi segala tanggungjawab kepadaNya dengan sepenuh daya tenaga mereka. Mereka ini dikenalpasti dan disanjung oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ulama-ulama dan didalam sirah Islam bukan kerana kecantikan mereka tetapi kerana keperibadian yang tinggi dan kebijaksaan yang berkualiti, kedermawanan, kerendahan diri, kesetiaan, keberanian, kekuatan, pengorbanan dan menjadi isteri-isteri yang taat dan ibu-ibu yang penyayang. Mereka diiktiraf didalam budaya Islam bukan kerana paras rupa mereka tetapi kerana menjadi pemikir-pemikir yang hebat, cendikiawan yang hebat, pejuang-pejuang yang hebat, pensyair-pensyair yang hebat dan ahli-ali politik yang hebat dan juga para pendakwah yang hebat.


Wanita-wanita seperti Khadijah Radhiallahu anha isteri pertama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang menyokong suaminya didalam berdakwah untuk membentuk Negara Islam yang pertama telah sanggup mengharungi segala kesukaran dan rintangan dengan tabah dan sabar, malah menyaksikan penderitaan anak-anak beliau pada masa yang sama. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata mengenainya “Aku tidak pernah berjumpa isteri yang lebih baik dari beliau. Dia mempercayai aku ketika orang lain, walaupun ahli dan kaum keluargaku sendiri tidak mempercayai aku, dan menerima bahawa aku adalah Rasul dan Pesuruh Allah yang sebenar. Dia memeluk Islam dan membelanjakan segala harta bendanya untuk membantu aku menyebarkan kepercayaan ini dan juga pada ketika seluruh dunia menentang dan menganiaya aku. Dan melaluinya, Allah mengurniakan aku dengan cahayamata.”Sedemikianlah keperibadiannya sehingga Allah Subhanahu wa Taala mengirimkan salam kepadanya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam sebuah hadis yang menyatakan bahawa Malaikat Jibrail datang kepada Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Pesuruh Allah! Khadijah akan datang kepada kamu dengan membawa semangkuk sup daging. Apabila dia sampai kepada kamu, sambutlah dia bagi pihak Tuhan kamu dan diriku, dan berilah dia khabar gembira bahawa sebuah istana yang diperbuat dari Oasab menantinya disyurga yang tidak akan ada sebarang kebisingan dan kesusahan.” [Riwayat Bukhari]



Wanita-wanita seperti Fatimah Radhiallahu anha anak perempuan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang sangat pemurah seperti perumpamaan cahaya api diatas bukit yang memberi panduan kepada kapal-kapal yang lalu. Contohnya, pada suatu ketika dimana Salman Radhiallahu anhu salah seorang dari rakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam cuba mencari makanan untuk seorang Muslim yang kelaparan kerana telah tidak makan untuk beberapa lama. Dia membawa orang tersebut kebeberapa buah rumah tetapi tiada sesiapa pun yang dapat memberikan sebarang makanan. Tiba-tiba dia sampai kerumah Fatimah, lalu mengetuk pintu serta memberitahu tujuan kedatangannya. Dengan airmata berlinangan, Fatimah memberitahunya bahawa dia telah tiga hari tidak mempunyai sebarang makanan dirumah. Walaupun begitu, Fatimah enggan menolak tetamu tersebut dan berkata, “Aku tidak boleh menghantar pulang seorang tetamu yang kelaparan tanpa memberi sebarang makanan kepadanya”. Fatimah lalu merayu Salman supaya memberikan sehelai pakaian kepunyaannya kepada Shamoon, seorang Yahudi untuk ditukarkan dengan sedikit jagung. Orang Yahudi tersebut sangat kagum dengan kemurahan hati anak perempuan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu memeluk Islam. Salman membawa jagung tersebut kepada Fatimah, lalu dikisarnya jagung tersebut untuk dijadikan beberapa buku roti. Apabila Salman mencadangkan supaya Fatimah menyimpan beberapa buku roti untuk diri dan keluarganya, Fatimah menjawab bahawa dia tidak mempunyai hak keatasnya kerana dia telah menyerahkan pakaian tersebut kerana Allah.


Wanita-wanita seperti Aisyah Radhiallahu anha isteri kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang bijaksana dan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, telah meriwayatkan lebih 2,000 buah hadis. Beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam dibidang tafsir, hadis, fikih dan Shari’ah. Didalam suatu mimpi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Malaikat Jibra’il menunjukkan satu gambar Aisyah yang dibaluti oleh sutera berwarna hijau dan berkata, “Dia adalah isterimu didunia dan akhirat.”Wanita-wanita seperti Khansaa seorang penyair yang mahir dan menggunakan kemahirannya untuk memotivasikan anak-anaknya berjihad untuk menaikkan ayat-ayat Allah yang Maha Tinggi dengan berkata kepada mereka, “ Kamu tahu ganjaran yang Allah janjikan kepada orang -orang yang berjuang untuk menentang orang - orang yang memusuhi jalanNya. Kamu harus ingat bahawa kehidupan akhirat adalah jauh lebih baik dari kehidupan dunia yang sementara ini. Apabila kamu bangun dikeesokan paginya, bersedialah untuk melakukan yang terbaik didalam peperangan. Berjuanglah menentang musuh dan mintalah pertolongan dengan Allah. Apabila kamu melihat api peperangan menyala, pergilah kamu ketengah medan peperangan dan hadapilah ketua-ketua musuhmu. InsyaAllah, kamu akan tinggal disyurga dengan kemuliaan dan kejayaan”. Keesokan harinya, keempat-empat anaknya melangkah kemedan peperangan Qadasiyyah, sambil mengulang-ulangi syair ibu mereka dan berperang sehingga mereka terbunuh. Apabila Khansaa menerima berita kematian anak-anaknya, dia berkata, “Alhamdulillah. Puji-pujian bagi Allah yang telah memuliakan aku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap agar Allah mempertemukan aku dengan mereka dibawah lindungan Yang Maha Pengasih”.


Wanita-wanita seperti Ummu Amarah Radhiallahu anha seorang pejuang yang sangat mahir dan telah berjuang didalam banyak peperangan termasuk Perang Uhud, Hunayn dan Yamamah. Seorang yang melindungi Rasullullah dengan badannya serta mengalami banyak kecederaan didalam Peperangan Uhud. Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah menceritakan ketika Perang Uhud dimana sahaja dia beralih, kekiri atau kekanan, dia melihat Ummu Amarah berjuang bermati-matian untuk melindunginya. Beliau berdoa untuk Ummu Amarah dan keluarganya yang telah berjuang dengan penuh semangat dan kekuatan pada hari tersebut dan bersabda; “Ya Allah! Jadikanlah keluarga ini teman –temanku disyurga.”Wanita-wanita seperti Ummu Shareek yang mengabdikan dirinya untuk berdakwah kejalan Islam dikalangan wanita-wanita Quraish sehingga pada satu masa dia dihalau dari masyarakat oleh ketua-ketua orang Quraish dan wanita-wanita seperti Sumayyah yang pertama syahid kerana Islam, yang sentiasa menyeru kepada orang ramai untuk menyembah Allah Subhanahu wa Taala walaupun sedang diseksa oleh Abu Jahal.KhatimahWanita Muslimah adalah individu yang berfikir, seorang yang tidak membuta tuli meniru dan menurut orang-orang disekitarnya walaupun dia menentang kebiasaan masyarakat. Dia bukanlah seorang individu yang merasa rendah diri kerana imejnya tetapi dia adalah seorang wanita yang yakin dengan kehidupan yang telah dipilihnya untuk memwujudkan kebenaran Islam melalui minda dan keyakinanya. Akhirnya, dia bukanlah seorang wanita yang hanya taksub dengan imejnya sendiri; keterampilan atau kehidupan tetapi sebagai seorang individu yang mengetahui urusan dunia, memahami masalah-masalah manusia dan berfikir dengan hati-hati tentang peranannya untuk merealisasikan sistem yang sebenarnya untuk mentadbir manusia; iaitu Daulah Khilafah.



Binalah diri kita pada hari ini untuk generasi masa depan..





Ghurur.. Bila derhaka dalam taat


Maksud ghurur ialah tipudaya. Asal daripada perkataan "Gharaa" (terpedaya). menurut kamus Al-Marbawi, selain maksud tipudaya, " Ghurur" juga diertikan dengan maksud "syaitan" dan " segala yang sia-sia". Orang yang terkena penyakit ghurur selalulnya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka dalam perkataan lain melakukan " derhaka dalam taat"

Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar darinya melakukan amalan yang kelihatan pada zahirnya baik, tetapi hakikatnya ia dibenci dan dimurkai oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaan tidak ikhlas, riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.

orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai " penipu" dalam mengamalkan perintah agama. ( Surah Al-Maun: 4-6)

terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat iaitu :

1)Amal yang tidak sempurna
Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir dan batin.


Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan-amalan sunat seperti solat sunat tahajud, puasa sunat, baca Al-Quran dan lain-lain dan adalanya dia pemurah, lemah-lembut. Tetapi dalam masa yang sama, kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, pendedahan aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.


Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api neraka. Imam Ghazali berkata: " kalau kamu tidak boleh ( belum mampu) bangun untuk solat tahajud malam( amalan sunat), jangnlah buat dosa( haram) di siang hari. kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari ( tahajjud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."

2. Cuai dengan amalan batin

Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan zahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain. Selain itu, ia suka juga menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan memberinya kedudukan yang mulia di dalam syurga. Orang ini dianggap derhaka kepada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.


Oleh itu dalam menilai amalan, para ulama menyimpulkan: Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah(taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud pada dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.

Seorang manusia yang telah selesai melakukan perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah menerima amalannya. Firman Allah, maksudnya:

" Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri, maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih." ( An-Nisa' :173)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya,

" Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil". sahabat bertanya "Apakah syirik kecil itu?" Baginda s.a.w menyambung: " Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah berfirman kepada mereka : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan ( menunjuk-nunjuk) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?" ( Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Petkan dari Majalah Solusi ( Isu Perdana)
Moga ada manfaatnya kepada kita semua.