Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Lirik lagu kumpulan Far-East singgah di benak kepala saya apabila mencari idea tentang tajuk ini. Aspirasi daripada apa yang saya pelajari di dalam kelas, moga-moga bermanfaat kepada semua yang membaca. InsyaAllah...
Nur Syahadah menyinar kalbu
Murni seharum namamu
Hadirnya dicelahan
Kekalutan kalbumu itu
Benarkah ada ungkapan seperti:
1. "Die memang la tak tutup aurat, tapi aku tengok sembahyang dia khusyuk. Dia berdoa lama"
2. " Don't judge a book by its cover
3. "Dia pakai je tudung labuh, tapi bercouple, pergaulan tak jaga"
4. " Iman Allah je yang tahu, hati sape yang tahu, Allah je tahu"
Iman apabila betul-betul meresap ke dalam hati, ia akan membuahkan hasil kepada moral dan akhlak iaitu mengamalkan akhlak islamiyah yang sebenar. Perbuatan seseorang adalah manifestasi kepada iman dan juga satu ekspresi luaran daripada apa yang ada di dalam diri seseorang ( an outward expression of inner conviction). [ Hammudah Abdalati, Islam in focus]
Iman memberi kesan kepada spiritual, material, personal, perhubungan sosial, tingkahlaku politik ( political conduct) dan ekonomi. Imam Al-Ghazali berkata bahawa iman adalah satu kuasa yang menjauhkan seseorang daripada sifat-sifat keji ( low attributes), dan sekaligus menggalakkan dan memotivasikan seseorang untuk mengamalkan akhlak yang terpuji. Dengan kata mudahya, jika seseorang itu mempunyai iman yang kukuh, maka akhlak yang baik dan berkualiti akan terbentuk, tetapi jika seseorang itu lemah imannya, maka akhlaknya juga akan rendah. [ Muhammad Al-Ghazali, Muslim's character ]
Rasulullah bersabda,
" Aku diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak yang baik" (HR: Bukhari dalam shahih Bukhari kitab adab, Baihaqi dalam kitab syu’bil Iman dan Hakim).
لاَ يَزْنِيْ الزَّانِيْ حِيْنَ يَزْنِيْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِيْنَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَسْرِقُ حِيْنَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيْهَا أَبْصَارُهُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ.
Ertinya: “Tidak akan berzina orang yang berzina semasa dia melakukan zina, dalam keadaan dia beriman. Dan tidak akan minum arak (orang yang meminumnya) dalam keadaan dia beriman, dan tidak akan merompak ( si perompak) yang menyebabkan orang hanya (mampu) melihat rompakan itu (dan tidak mampu menghalangnya) dalam keadaan dia beriman”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا.
Ertinya: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya”. Hadis sohih riwayat Abu Daud dan Tirmizi.
manusia dibahagikan kepada beberapa tingkatan imannya iaitu:
1. Muslim
2. Mukmin
3. Muttaqin
4. Muhsinun
Di dalam Al-Quran juga banyak ayat yang menggbungkan perkataan " aamanu" dan "'amilusholihat" yang membawa maksud iman adalah berkait rapat dengan amal soleh. Iman harus disertakan dengan amal perbuatan.
[ 95: 6]"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus."
Di dalam Surah Al-Hujurat juga ada dinyatakan:
Maksunya: Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [ 49:14]
Sebagai konklusinya, sebagai hamba Allah, kita hendaklah berusaha agar kita dapat mencapai tahap tertinggi dalam iman kita iaitu menjadi golongan yang muttaqin dan muhsinun. Dan untuk mencapai ke tahap itu, perlulah banyak kita menuntut ilmu, bergaul dengan orang-orang soleh dan sentiasa istiqamah dengan amal-amal kebaikan. Moga matinya kita dalam keadaan Husnul Khatimah.Amin.