16 October 2009

Al- Insyirah ( kelapangan hati)




Dimana kan ku cari ketenangan?

kadangkala kita membaca Al-Quran tanpa kita meneliti makna kalimah yang kita baca..kerana itu apa yang kita baca tidak meresap di hati..ia hanya sekadar ungkapan di bibir..alangkag indahnya jika kita memahami setiap kalimah yang kita bacakan, seolah-olah kita sedang berkomunikasi dengan Allah.

ketika kali pertama saya membaca tafsir surah Al-Insyirah, saya berasa sangat lapang. membaca makna-makna dalam surah yang pendek ini akan menjawab segala krisis dan permasalahan yang berlaku, yang kita rasakan susah untuk kita hadapi.

kerana itu, saya tertarik untuk meletakkan insyirah sebagai email saya, kelapangan hati..saya bercita-cita ingin menarik manusia ke arah kelapangan, ketenangan yang hakiki.




Maksud:

1. wahai Muhammad, bukankah kami telah lapangkan dadamu?

2. Dan kami telah ringankan bebanmu.

3. Yang telah memberatkan belakangmu

4. Dan Kami telah angkatkan namamu ( di dunia dan akhirat)

5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan

6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan

7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan0kegiatan hidupmu, maka usahakanlah kegiatan yang lain pula.

8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu


Latarbelakang surah al-Insyirah:

~ Surah ke-94 di dalam Kitab Al-Quran.

~ Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat.

~ Dinamakan surah “Al-lnsyiraah (Perihal Melapangkan Dada Nabi), kerana pada awal surah ini, Allah Taala menegaskan salah satu nikmat- Nya yang dikurniakanNya kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah melapangkan dadanya (serta mengisinya dengan iman dan hidayah pertunjuk).

~Surah ke 94

~Juz 30


Surah ini diturunkan selepas Surah ad-Duha, seolah-olah merupakan surah yang menyempurnakannya. Dalam surah ini terdapat naungan kasih mesra dan semangat bermunajat dengan orang kesayangannya. Dalam surah ini juga disebut gejala-gejala dan peristiwa-peristiwa yang membuktikan Inayah dan perhatian Ilahi terhadap Rasul-Nya, juga disebut berita gembira yang menjamin kesenangan dan kelapangan, dan disampaikan bimbingan untuk mencapai rahsia kesenangan dan tali hubungan yang kukuh dengan Allah 'Azzawajalla.


Penafsiran bagi ayat 1-4


أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ
2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.

الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ
3. Yang telah memberatkan belakangmu.

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).

Ayat-ayat ini menyarankan bahawa jiwa Rasulullah s.a.w. sedang mengalami kesulitan dan kesusahan dalam usaha menyebarkan da'wah yang ditugaskan kepadanya dan dalam menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan dan tipu daya di jalan da'wah. Dadanya penuh sebak dengan kerungsingan-kerungsingan memikul tugas da'wah yang berat itu dan
merasa betapa perlunya kepada pertolongan, bantuan dan bekalan semangat daripada Allah. Kemudian berlakulah munajat yang manis dan bisikan yang mesra:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

1. (Wahai Muhammad) bukankah Kami telah lapangkan dadamu?

Yakni bukankah Kami telah bukakan dadamu untuk memikul tugas dakwah ini dan Kami berikan kemudahan-kemudahan kepadamu untuk melaksanakannya? Bukankah Kami telah jadikan tugas da'wah itu satu tugas yang amat disukai hatimu? dan Kami licinkan jalan-jalannya untukmu serta Kami terangi jalan-jalan itu hingga engkau dapat melihat penghabisannya yang bahagia. Wahai Muhammad periksalah dadamu, tidakkah engkau dapati di lubuknya perasaan senang dan lapang hati, perasaan terang-benderang oleh nur iman? Pulihkan kembali kecapan citarasa dari kurniaan-Ku ini di dalam perasaanmu dan jawablah: Tidakkah dengan kecapannya yang citarasa itu melapangkan hatimu dari segala kesusahan, merehatkan dirimu dari segala kepenatan, memberikanmu perasaan senang dalam menghadapi setiap kesukaran dan perasaan rela terhadap segala penafian?


وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ

2. Dan Kami telah ringankan bebananmu.

الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

3. Yang telah memberatkan belakangmu.

Yakni kami ringankan bebanan dakwah yang amat berat itu dengan melapangkan hatimu, dan dengan memberi taufik dan kemudahan kepadamu untuk melaksanakan da'wah, dan dengan menurunkan wahyu kepadamu untuk menerangkan hakikat-hakikat yang sebenar dan untuk menolongmu menyerap ke dalam jiwa manusia dengan cara yang lemahlembut. Tidakkah engkau dapati semuanya itu ketika menanggung beban yang telah memberatkan belakangmu? Tidakkah kini engkau dapati beban itu telah menjadi ringan setelah Kami lapangkan dadamu?

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
4. Dan Kami telah angkatkan namamu (di dunia dan di Akhirat).

Yakni Kami angkatkan namamu di kalangan para Malaikat al-mala'ul a'la, Kami angkatkannya di bumi dan di seluruh 'alam buana dan kerana itulah Kami gandingkan namamu dengan nama Allah setiap kali bibir manusia menyebut Laa ilaa ha illal laah, Muhammadar Rasulullaah. Tidak ada lagi darjah yang setinggi dan semulia ini, itulah satu-satunya darjah yang hanya dicapai oleh Rasulullah s.a.w. di antara seluruh isi 'alam. Kami telah angkatkan namamu di dalam Lauh Mahfuz ketika Allah memutuskan supaya namamu disebut pada setiap zaman dengan ucapan doa, selawat dan taslim dan dengan perasaan kasih-sayang yang mendalam. Kami telah angkatkan namamu yang telah terikat dengan agama Allah yang luhur ini, kerana pemilihanmu untuk menyampaikan agama ini merupakan satu pengangkatan nama yang paling tinggi yang belum pernah dicapai oleh seseorang pun di 'alam buana ini baik sebelummu atau
selepasmu. Oleh itu kesusahan, kepenatan dan keletihan tidak mempunyai tempat
lagi dibandingkan dengan pengurniaan Allah yang besar yang boleh menghapuskan segala penderitaan itu.


(Pentafsiran ayat-ayat 5 – 6)

Walaupun begitu, namun Allah terus berlemah-lembut dengan Rasul
kesayangan-Nya yang terpilih itu dan terus menghibur dan menenangkan
hatinya di samping menerangkan rahsia kesenangan yang tidak terpisah
darinya. Kerana:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
5. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

Kesukaran dan kesusahan tidak sunyi dari kesenangan dan kemudahan yang menemanimu di mana-mana sahaja. Apabila bebanan dakwah menjadi sebegitu berat, Kami lapangkan dadamu lalu bebanan yang memberatkan belakangmu itu menjadi ringan. Kesenangan sentiasa menemani kesusahan untuk meringankan tekanan dan keberatannya. Ini adalah satu hakikat yang diyakinkan dan kerana itu ia disebut berulang-ulang kali dengan ungkapan yang sama.

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
6. Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.

Pengulangan ayat ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. benar-benar berada dalam kesulitan dan kesukaran yang memerlu kepada pengamatandan peringatan ini, memerlukan kenangan kepada gejala-gejala Inayah Allahini, memerlukan kepada penayangan tempat-tempat Ri'ayah Allah ini, dan
memerlukan kepada penegasan dengan segala cara penegasan yang seperti
ini. Tidak syak lagi bahawa urusan da'wah yang telah memberatkan penanggungan hati Nabi Muhammad s.a.w. sebegini rupa adalah satu urusan yang amat besar.

(Pentafsiran ayat-ayat 7 – 8)

Kemudian datang pula arahan Ilahi supaya ia mencari sebab-sebab yang
boleh melahirkan kelapangan dan kesenangan hati dan mencari tempat
simpanan bekal untuk menempuh perjalanan da'wah yang jauh dan sukar:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ
7. Oleh itu apabila engkau telah selesai dari kegiatan-kegiatan hidupmu,

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.


Selepas kesulitan ialah kesenangan. Oleh itu gunakanlah punca-punca kesenangan dan kemudahan itu. Yakni jika engkau telah selesai dari urusanurusanmu dengan orang ramai dan dari urusan-urusan kehidupan, maka hadapilah dengan seluruh hatimu kepada kegiatan-kegiatan yang lain yang wajar dilakukan dengan susah payah dan penat jerih, iaitu kegiatan ibadat dan bertawajjuh kepada Allah:

وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
8. Dan kepada Tuhanmu tumpukan perhatian dan minatmu.

Tumpukan seluruh perhatian dan minat kepada Tuhanmu sematamata dan kosongkan hatimu dari segala sesuatu termasuk urusan orang ramai yang engkau dakwahkan mereka. Sudah tentu engkau memerlukan bekalan dan senjata. Di sinilah engkau akan mendapat bekalan untuk menempuh jalan da'wah, di sinilah engkau akan mendapat alat-alat senjata untuk kelengkapan berjihad. Di sinilah engkau akan menemui kesenangan dan kemudahan setiap kali engkau menempuh kesulitan dan kesukaran. Inilah jalan perjuangan dakwah.


Surah ini berakhir sama seperti berakhirnya Surah ad-Duha. Meninggalkan di dalam hati dua perasaan yang bercampur-aduk, iaitu perasaan betapa besarnya kasih mesra Allah terhadap kesayangan-Nya Rasulullah s.a.w. dan perasaan betapa besarnya timbangrasa dan belas-kasihan-Nya terhadap Rasulullah s.a.w. dan kita sendiri seolah-olah merasa bagaimana perasaan kesulitan yang sedang berkecamuk di dalam hati Rasulullah s.a.w. pada waktu itu yang benar-benar memerlukan kepada kasih mesra Ilahi. Itulah dakwah. Itulah amanah dan tugas yang amat berat, namun demikian ia tetap merupakan tempat pancaran dan tempat turunnya nur Ilahi. Ia merupakan tali hubungan yang menyambung fana' dengan baqa' dan'alam dengan nyata.

( Tafsir fi Zilalil Quran)
Sayyid Qutb

kesusahan dan kesempitan.

kita sebagai manusia tidak akan lari dari merasa kesusahan dan kesempitan hidup. Saya dapat melihat bahawa surah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w ini adalah satu surah pembakar semangat kepada kita tatkala kita sebagai manusia yang tidak lari daripada merasa kecewa, sedih dan putus asa. Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang kita rasakan susah untuk kita laksanakan..

bagi penghafaz Al-Quran,
" saya rasa saya tak boleh bawak la Quran, saya rasa susah sangat nak hafaz, sepanjang malam saya hafal, tapi saya tetap tak ingat, bila tasmi', aya selalu x lancar,saya malu"

bagi seorang pelajar jurusan lain,
" susah betul la subject ni, pening kepala aku"

bagi aktivis dakwah,
"entah la, aku rasa tak dapat balance antara study ngan dakwah, pointer aku pun asyik jatuh jer, tidur lewat,assignment berlambak, mane sempat masa, masa aku pun 24 jam gak"

mungkin banyak lagi contoh yang saya tidak dapat bawakan di sini, tapi di sini jelas menunjukkan keluhan-keluhan kita saban hari. Namun, sudah lumrah kita sebagai manusia berasa "down" seketika, namun perasaan-perasaan sebegini hendaklah ditangani dengan cepat sebelum ia menjadi virus dengan lebih dasyat.

Sebagai seorang muslim, kita diajar supaya menunaikan solat, membaca Al-Quran kerana itu merupakan titik kepada menacapai ketenangan. Saintifik juga telah membuktikan kenapa amalan-amalan begini boleh mencapai ketenangan..

Kajian yang telah dijalankan oleh Dr Emoto terhadap air menyatakan air mengandungi mesej tersembunyi didalam struktur kristalnya dan mesej-mesej ini memberikan kita gambaran menakjubkan mengenai realiti kita yang sebenarnya. Eksperimen yang dijalankan oleh beliau mendapati terdapat interaksi air dengan semua perkara yang berlaku dipersekitarannya melalui bentuk-bentuk kristal yang terhasil apabila air itu dibekukan pada suhu tertentu. Tindakbalas air pada persekitaran yang positif menghasilkan bentuk kristal yang cantik dan begitu juga sebaliknya, jika persekitaran di mana air diletakkan adalah negatif bentuk kristal yang terbentuk adalah buruk dan tidak menarik. Walaupun eksperimen yang dijalankan oleh beliau nampak mudah dari segi pemerhatiannya, tetapi sebenarnya ianya memberi impak yang cukup besar terhadap perilaku seseorang dan perhubungan antara manusia.

70% daripada komposisi badan kita juga adalah air. Bukankah jika kita menunaikan solat dan membaca Al-Quran, kita menyebutkan perkataan yang baik? maka disitulah moleku-molekul air akan berubah kepada bentuk yang cantik dan meransang emosi manusia.

Maka dalam setiap tindakan kita, kembalikan segalanya kepada Allah. InsyaAllah kita pasti mendapat ketenangan walau seberat mana ujian yang menimpa kita, kita akan menganggapnya sebagai hadiah daripada Allah.